Penduduk Igan bersyukur Jambatan Batang Igan dibuka, mudahkan urusan harian

IGAN: Pembukaan awal Jambatan Batang Igan menjadi bukti komitmen Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan jaringan perhubungan serta pembangunan infrastruktur luar bandar di kawasan pesisir.

Majlis pembukaan awal jambatan tersebut telah disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata pembinaan Jambatan Batang Igan diyakini memberi impak kepada penduduk setempat.

“Kemudahan tersebut bukan sahaja memendekkan masa perjalanan antara Matu, Daro dan Mukah, malah memperkukuh hubungan antara kawasan di wilayah tengah Sarawak yang kini semakin menjadi tumpuan pembangunan serta aktiviti ekonomi,” katanya mengulas prapembukaan Jambatan Batang Igan di sini, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pelaksanaan projek jambatan tersebut.

Ahmad Johnie berkata, rakyat di kawasan Parlimen Igan amat gembira dan bersyukur kerana pembukaan jambatan itu menjelang sambutan Aidilfitri, sekali gus membawa kegembiraan berganda kepada masyarakat.