Penguatkuasaan keselamatan pengangkutan sungai diperhebat

SIBU: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan menggerakkan 115 anggota bersama 15 bot bagi memperhebatkan penguatkuasaan keselamatan pengangkutan sungai sempena Aidilfitri dan cuti sekolah penggal pertama.

Pengerusi LSS, Dr Safiee Ahmad berkata, langkah tersebut diambil berikutan jangkaan peningkatan penggunaan ketika cuti sekolah berbanding hari biasa.

“Ramai penduduk dijangka pulang ke kampung halaman dan menggunakan pengangkutan sungai, justeru pemantauan keselamatan akan dipertingkatkan,” katanya selepas Kempen Keselamatan Sungai sempena Aidilfitri dan Cuti Persekolahan di sini, hari ini.

Menurut beliau, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara dua fasa, iaitu dari 18 hingga 20 Mac, manakala fasa kedua (27 hingga 29 Mac), sesi persekolahan dibuka semula pada 30 Mac.

Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan penguatkuasaan tersebut bukan semata-mata bertujuan mengeluarkan kompaun, sebaliknya memberi kesedaran serta pematuhan terhadap aspek keselamatan.

Mengulas mengenai isu tambang, Safiee menegaskan bahawa pengusaha bot tidak dibenarkan menaikkan tambang sesuka hati.

Katanya, pengusaha yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 34(2) Ordinan Sungai Sarawak 1993, memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.