Pembangunan fizikal, sosial harus seiring dengan perpaduan rakyat

BINTULU: Pembangunan pesat tidak akan membawa makna sekiranya rakyat hidup tidak bersatupadu, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

Beliau berkata, pembangunan fizikal perlu bergerak seiring dengan pembangunan sosial, khususnya dalam memperkukuh perpaduan rakyat.

“Bintulu merupakan contoh terbaik bagaimana kerajaan, industri dan komuniti dapat bergabung dalam satu ekosistem yang kukuh dan harmoni,” katanya semasa berucap mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Bersama Premier Sarawak 2026 di Dewan Suarah Bintulu, di sini, hari ini.

Ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada perancangan teliti, kerjasama erat serta kepercayaan yang dibina sejak sekian lama,

Menurut Len Talif, Kerajaan Sarawak sentiasa memastikan pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja pesat, malah inklusif dan dirasai rakyat, dengan perpaduan masyarakat kekal menjadi teras utama.

Majlis seperti Ramah Tamah Aidilfitri memainkan peranan penting sebagai platform untuk mengeratkan silaturahim, membina kepercayaan serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, tegas beliau.

Pendekatan Kerajaan Sarawak, katanya, adalah berteraskan pembangunan inklusif yang menumpukan kepada kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Katanya, Bintulu kini menyaksikan pembangunan pesat dengan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan serta peningkatan taraf hidup masyarakat.

“Namun, perkara yang paling membanggakan ialah perpaduan dalam kalangan masyarakatnya yang kekal utuh,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji peranan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) yang bukan sahaja menganjurkan majlis, tetapi berjaya mewujudkan platform yang menghimpunkan kerajaan, industri dan masyarakat dalam suasana harmoni.

“Bintulu memainkan peranan penting sebagai hab industri utama Sarawak, pusat pertumbuhan ekonomi strategik serta bandar yang mencerminkan keharmonian masyarakat majmuk,” katanya.