TYT, isteri sampaikan bantuan program LIFE

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyampaikan bantuan kepada ibu tunggal, di sini, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan ketika mengadakan kunjungan Aidilfitri ke kediaman Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Bantuan Program Low Income Family Empowerment (LIFE) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) itu berupa peralatan kamera bernilai RM5,000.

Bantuan itu disampaikan Toh Puan Fauziah kepada seorang ibu tunggal, Nor Karmira Benny Karmilan selain sumbangan duit raya kepada anak-anaknya.

Sebagai tanda penghargaan, Fatimah serta suami Datu Dr Adi Badiozaman Tuah kemudian menyampaikan cenderahati kepada Tun Pehin Dr Wan dan Toh Puan Fauziah.

Kunjungan tersebut diakhiri dengan sesi bergambar bersama TYT Sarawak dan Toh Puan.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak ( Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara(DBKU) dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi serta Isteri, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad.