KUCHING: Nilai eksport produk kayu Sarawak pada tahun lalu mencecah kira-kira RM2.5 bilion, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Perancangan Sumber ll berkata, jumlah eksport produk kayu terbabit berjumlah 1.4 juta meter padu.
Pada masa sama, katanya Sarawak mengimport spesies tertentu berjumlah 241,000 tan padu bernilai RM245 juta untuk meningkatkan nilai tambah produk tempatan.
“Pelaksanaan pensijilan hutan wajib adalah antara langkah penting dalam usaha memastikan aktiviti perhutanan negeri diurus secara bertanggungjawab dan lestari,” katanya kepada media selepas Majlis Ramah Tamah Hari Raya anjuran Jabatan Perhutanan Sarawak (JPS) di Wisma Sabati, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dato Sri Mohd Naroden Majais, Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad dan
Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) Datu Zainal Abidin Abdullah.
Awang Tengah menegaskan,
kerajaan turut mempelbagaikan program konservasi termasuk menganjurkan seminar di Sabal dan Simunjan dalam masa terdekat bagi menjamin khazanah alam negeri ini kekal terpelihara untuk generasi akan datang.
Beliau berkata, usaha tersebut dilaksanakan melalui kerjasama erat antara Jabatan Perhutanan Sarawak, Perbadanan Perhutnan Sarawak dan pelbagai agensi berkaitan.
Sehubungan itu, beliau berharap semua agensi terlibat dapat terus mempertingkatkan usaha dan kerjasama dalam memastikan pengurusan hutan dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau menegaskan, Sarawak memiliki kekayaan biodiversiti yang tinggi, meliputi pelbagai spesies flora dan fauna, sekali gus menjadikan hutan sebagai modal semula jadi yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.
Sehingga kini, katanya, kira-kira 2.1 juta hektar kawasan telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas), melibatkan sekitar 900,000 hektar daratan dan 1.2 juta hektar kawasan perairan.
“Bagi Hutan Simpan Kekal pula, kita mencapai hampir 4 juta hektar dan usaha ini akan terus dipertingkatkan,” ujarnya.
Penguatkuasaan juga akan terus diperkasa bagi memastikan sumber hutan kita terus terpelihara,” tegasnya.
