KUCHING: Kejadian kebakaran di Sarawak termasuk di Kuala Tatau, Sibu dan Penasu/Penukak dalam tempoh seminggu lalu kini terkawal.
Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam berkata kebakaran itu dipadam sepenuhnya di Sibu berikutan hujan lebat pada waktu malam.
“Di kawasan Penasu, operasi pemadaman masih giat dijalankan oleh pasukan bomba, walaupun keadaan api dilaporkan terkawal,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Hari Raya Jabatan Hutan Sarawak (JHS) di Wisma Sabati di sini, hari ini.
Jack berkata, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) juga memulakan siasatan terhadap kes-kes tersebut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta pihak yang terlibat.
“Setakat ini, siasatan masih berjalan dan belum ada pihak yang dikenal pasti bertanggungjawab. Terdapat beberapa kemungkinan yang sedang diteliti oleh pihak berkuasa,” tambahnya.
Beliau menjelaskan sekiranya didapati bersalah, tindakan boleh diambil di bawah peruntukan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 1958, bergantung kepada kesesuaian kes.
Selain itu mengenai keadaan jerebu di Sarawak, beliau berkata keadaan itu masih terkawal meskipun terdapat kejadian kebakaran kecil.
“Bulan ini merupakan tempoh peralihan daripada musim hujan ke musim kering, justeru hujan masih berlaku di beberapa kawasan dan membantu mengawal keadaan serta mengelakkan berlakunya jerebu,” jelasnya.
Di samping itu, siasatan awal tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca dari aktiviti pertanian, khususnya melibatkan pekebun kecil, namun perkara itu masih dalam siasatan lanjut.
