Lapan jambatan utama bakal siap tahun ini

KUCHING: Kerajaan Sarawak yakin lapan projek jambatan utama di negeri ini akan siap tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, meskipun konflik di Timur Tengah menganggu rantaian bekalan namun ia tidak akan menjejaskan jadual pelaksanaan lapan projek jambatan berkenaan.

Setakat ini, kelapan-lapan projek jambatan terbabit berjalan lancar dan yakin dapat disiapkan tahun ini, katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Libat Urus Infrastruktur Sarawak (SIEP 2026) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan berlaku sedikit masalah, tetapi ia tidak akan sampai ke tahap boleh mengganggu pelaksanaan projek.

“Kerajaan yakin semuanya akan berjalan baik dan terus memantau keadaan semasa,” katanya.

Menurut Uggah, di samping itu, kerajaan turut memantau pembinaan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) 2 dari segi program perolehan bahan binaan termasuk cara mendapatkannya.

Langkah tersebut penting bagi memastikan perancangan pihak pelaksana mengambil kira perkembangan semasa, termasuk sebarang implikasi yang mungkin timbul susulan ketidaktentuan global, tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Kerajaan Sarawak bersama Kerajaan Persekutuan turut memantau harga barangan binaan dalam usaha menghadapi ketidaktentuan pada masa kini.

Jelasnya, mereka kini sedang mencari jalan penyelesaian terbaik menangani masalah tersebut dan mengesyorkan pembinaan lapan jambatan terbabit dipergiatkan.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, barisan Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Dr Cassidy Morris.