Kerajaan Sarawak salurkan geran pada persatuan belia, sukan

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkukuhkan pembangunan belia dan sukan negeri menerusi penyaluran geran berjumlah RM1.93 juta kepada pelbagai persatuan tahun ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memajukan ekosistem sukan negeri.

Menurutnya, geran tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya tanda kepercayaan dan sokongan padu kerajaan terhadap golongan belia.

“Ia juga bertujuan memperkasa pentadbiran persatuan belia dan sukan,” katanya pada Majlis Penyerahan Geran Belia dan Sukan 2026 anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau sehubungan itu berharap geran tersebut menjadi pemangkin kepada persatuan untuk terus aktif dan progresif, di samping memberi impak positif kepada masyarakat melalui program inklusif serta pembangunan bakat atlet.

Namun, beliau menegaskan geran berkenaan bukan untuk menampung sepenuhnya penganjuran program berskala besar.

Sehubungan itu, persatuan disaran agar lebih proaktif mencari penajaan tambahan, menjalin kerjasama dengan sektor korporat serta mengemukakan kertas kerja kepada kementerian bagi melaksanakan program yang lebih besar dan berimpak tinggi.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 43 persatuan menerima manfaat secara langsung, melibatkan lima pertubuhan belia dan 38 persatuan sukan di seluruh Sarawak.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Ripin Lamat serta Gerald Rentap Jabu.