Ketagihan penggunaan gajet semakin membimbangkan

KUCHING: Ketagihan penggunaan gajet dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak hari ini kian membimbangkan serta berpotensi menggugat keharmonian institusi kekeluargaan.

Tegas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus, fenomena kehilangan masa akibat penggunaan peranti digital menjadi antara cabaran paling kritikal dalam kehidupan moden hari ini.

“Apabila kita bercakap tentang masa, anak-anak kita asyik tengok telefon bimbit saja. Bukan sahaja anak-anak, malah ibu bapa juga sama, terlalu banyak masa diluangkan pada ini dan kurang masa diluangkan pada keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penangguhan Kursus Kasih Keibubapaan Digital di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Menurutnya, dalam dunia tanpa sempadan, masyarakat tidak mempunyai pilihan selain menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, namun kawalan dan batasan perlu diberi keutamaan.

Beliau turut memberi amaran bahawa pendedahan gajet tanpa kawalan sejak usia awal boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan anak-anak.

“Kita kena lihat waktunya, apa pengisian dalam telefon bimbit, pada akhirnya anak kita yang akan menjadi mangsa, terlalu terikat dengan gajet-gajet ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan ibu bapa perlu mengambil tindakan proaktif termasuk menghadkan tempoh penggunaan peranti serta menapis kandungan yang diakses oleh anak-anak.

“Kita boleh mengurangkan masa, menutup beberapa laman web yang tak boleh diterima oleh anak-anak, kita harus mulakan dari awal,” katanya.