Perlumbaan Bot Kuasa Antarabangsa Sibu mampu tarik pelancong

SIBU: Perlumbaan Bot Kuasa Antarabangsa Sibu 2026 bukan sekadar pertandingan, malah berkembang menjadi jenama yang mampu mempromosikan Sibu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara sukan itu terus mengukuhkan kedudukan bandar ini sebagai hab sukan air berpotensi, sekali gus mengetengahkan Sungai Rajang sebagai produk pelancongan unik Sarawak.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak melalui kementeriannya menyalurkan sokongan sebanyak RM150,000 bagi menjayakan perlumbaan tersebut.

Beliau menyifatkan penganjuran tersebut adalah pelaburan berbaloi berikutan limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, pengusaha makanan, penyedia pengangkutan dan usahawan tempatan.

“Penganjuran edisi kedua itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam mempromosikan pelancongan berasaskan sungai serta acara sukan berimpak tinggi,” ujarnya semasa berucap merasmikan acara perlumbaan tersebut hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas kejayaan mencatatkan penyertaan sebanyak 251 bot kuasa tahun ini, sekali gus melayakkan acara tersebut diiktiraf dalam Malaysia Book of Records bagi kategori “Bilangan Bot Kuasa Terbanyak Dalam Satu Acara”.

Katanya, kementerian juga akan meneliti cadangan menaik taraf kemudahan di Tebingan Air Pulau Li Hua bagi menyokong penganjuran acara bertaraf antarabangsa pada masa hadapan.

Perlumbaan bertemakan “D’Awakening Of The Mighty Rajang River” itu menyaksikan penyertaan pelumba tempatan dan antarabangsa, termasuk dari Brunei.