MIRI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan solat Jumaat di Masjid At-Taqwa Miri sejurus tiba di sini, hari ini.
Kehadiran Premier disambut para jemaah serta kepimpinan tempatan yang turut mengambil peluang beramah mesra bersama beliau.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pengajian Tinggi dan Inovasi) Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan, ketua-ketua jabatan serta ketua-ketua masyarakat.
Pada petang nanti, Premier dijadual menyempurnakan Majlis Penyampaian Pingat Setia bertempat di Hotel Mega Miri.
Manakala, sebelah malam, beliau dijadual menghadiri Majlis Makan Malam bersama Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) serta kepimpinan akar umbi sebagai platform memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan masyarakat.
Pada pagi Sabtu, beliau dijadual merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Miri, program strategik berimpak tinggi bertujuan mendekati rakyat bagi menyampaikan perkhidmatan kerajaan secara terus.
Beliau akan mengakhiri lawatan kerjanya di Miri dengan melawat Tapak Projek Proposed Dredging and Associated Works di Batang Baram Delta pada petang Sabtu.
