2,090 kanak-kanak pelajari asas bahasa isyarat, pupuk generasi prihatin

BINTULU: Seramai 2,090 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun mempelajari asas bahasa isyarat di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata seramai 640 kanak-kanak terbabit berumur empat tahun, 764 kanak-kanak (lima tahun) dan 686 kanak-kanak (enam tahun).

“Kesemua kanak-kanak ini diajar asas bahasa isyarat sebagai sebahagian daripada pembelajaran inklusiviti sekali gus memupuk nilai empati, menghargai kepelbagaian serta membentuk generasi lebih prihatin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penutupan Sukan Olimpik Khas Kebangsaan Malaysia Ke-enam Sarawak 2026 di Dewan Suarah Bintulu, malam tadi.

Fatimah berkata, pendedahan awal itu diharap dapat melahirkan individu yang menyokong serta menghormati golongan orang kelainan upaya (OKU) apabila dewasa kelak.

Sementara itu, katanya seramai 170 guru taska SeDidik atau 98.26 peratus daripada keseluruhan 173 tenaga pengajar taska terbabit telah menjalani latihan bahasa isyarat sehingga 31 Mac lalu.