KUCHING: Kerajaan Sarawak melancarkan platform digital JobSarawak sebagai langkah memperkukuh sistem padanan pekerjaan.
Selain itu, platform tersebut turut menyediakan data pasaran buruh secara masa nyata selaras dengan keperluan ekonomi semasa dan agenda transisi ekonomi negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, platform tersebut dibangunkan susulan peningkatan ketara peluang pekerjaan dan kekosongan jawatan hasil perkembangan ekonomi negeri ketika ini.
Menurutnya, Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (ILMU) turut berjaya membangunkan satu papan pemuka yang memberi gambaran lebih menyeluruh mengenai situasi pekerjaan serta keperluan tenaga kerja mengikut bidang yang diperlukan majikan di Sarawak.
“Kita berkehendakan beberapa kepakaran. Tadi disebutkan pekerja yang ada latihan peningkatan kemahiran termasuk mereka dalam bidang PhD, ekonomi atau pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pendekatan menerusi JobSarawak jauh lebih komprehensif berbanding sistem terdahulu kerana mampu menyediakan data yang lebih tepat dan diperlukan dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan yang seiring dengan misi transisi ekonomi Sarawak.
Tambah beliau, sistem bersepadu itu turut memperkukuh hubungan antara kerajaan dan majikan, selain memudahkan rakyat Sarawak mengakses maklumat kekosongan jawatan serta memohon pekerjaan secara terus melalui platform berkenaan.
Terdahulu, Premier Sarawak turut menyempurnakan simbolik pelancaran JobSarawak sempena sambutan tersebut.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, barisan menteri dan timbalan menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif kenamaan lain.
