KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak akan mengadakan konvensyen dibahagikan kepada empat zon iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Betong dan Zon Selatan mulai Julai hingga September 2026.
Setiausaha Agung Parti PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, konvensyen itu bertujuan menghimpunkan ahli-ahli di peringkat akar umbi di seluruh negeri membincangkan hala tuju negeri ini.
Konvensyen itu mungkin ada kaitan dengan pilihan raya negeri (PRN), katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PBB yang dipengerusikan Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini.
Bagaimanapun beliau memberitahu, tarikh sebenar konvensyen mengikut zon itu masih belum ditetapkan.
Zon Utara, katanya akan dipengerusikan oleh Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Zon Tengah oleh beliau sendiri, zon Betong dipengerusi oleh Timbalan Yang di-Pertua Parti, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Zon Selatan oleh Yang di-Pertua Kanan parti, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Douglas Uggah turut mempengerusikan badan induk jawatankuasa konvensyen berkenaan, katanya dan menambah, setakat ini Parti PBB mempunyai kira-kira 396,000 ahli.
Alexander Nanta yang juga Menteri Kerja Raya berkata, semua ahli Majlis Tertinggi (MT) parti termasuk Pergerakan Pemuda dan Wanita menghadiri mesyuarat yang pertama diadakan untuk tahun ini.
