Masyarakat Bario zahirkan penghargaan kepada Premier, GPS

KUCHING: Masyarakat pedalaman Baram bakal menikmati jalan raya lebih baik susulan keputusan Kerajaan Sarawak mengambil alih lebih 7,000 kilometer (km) jalan balak di seluruh negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,700 km jalan balak terletak di Baram yang menjadi laluan utama penduduk di pedalaman.

Menurut beliau, langkah tersebut membolehkan jalan berkenaan diselenggara, dibaik pulih dan dinaik taraf secara berperingkat menggunakan peruntukan dana MARRIS daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kami amat berterima kasih apabila Premier Sarawak memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak memutuskan untuk mengambil alih semua jalan balak di Sarawak melibatkan lebih 7,000 km.

“Daripada jumlah itu, 2,700 km terletak di Baram. Apabila jalan ini diwartakan sebagai jalan negeri, maka kita layak menerima dana MARRIS untuk penyelenggaraan, pembaikan dan naik taraf jalan secara berfasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Gerawat berkata, komuniti terbabit turut menyuarakan penghargaan kepada Premier Sarawak dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas pelbagai pembangunan yang telah dilaksanakan di Bario termasuk bekalan elektrik 24 jam, capaian telekomunikasi dan internet serta bekalan air bersih.

Tambah beliau, antara permintaan utama yang dikemukakan kepada Premier ialah menaik taraf jalan balak dari Pekan Lapok hingga ke Bario yang menghubungkan lebih 100 rumah panjang di pedalaman.

Selain itu, komuniti Kelabit ujarnya turut memohon supaya industri Beras Bario diperkasakan semula menerusi pemodenan dan mekanisasi bagi meningkatkan hasil pengeluaran beras istimewa yang kini masih diusahakan secara tradisional.

Katanya, komuniti Kelabit turut mengemukakan permohonan agar diwujudkan jawatan Temenggong bagi masyarakat Kelabit seperti komuniti minoriti Orang Ulu lain termasuk Lun Bawang, Bisaya dan Penan.