MATU: Penduduk tujuh rumah panjang di Sungai Passin bakal menikmati kemudahan jalan raya dan elektrik menerusi dua projek infrastruktur yang kini giat dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr Safiee Ahmad berkata, projek itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2027.
“Penduduk akan menikmati sistem perhubungan yang selesa dan akses bekalan elektrik stabil apabila projek itu siap nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Mantar Gawai 2026 Sungai Passin di Rumah Atoh, Sungai Passin, semalam.
Menurutnya, kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan luar bandar bagi mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar secara berperingkat.
Beliau turut menyampaikan sumbangan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM63,000 kepada tujuh rumah panjang Sungai Passin, tiga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batang Lassa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Passin.
