KOTA SAMARAHAN: Program Come Discover Bumi Kenyalang 2026 (CDBK 2026) menghimpunkan 53 delegasi dari lima institusi pengajian tinggi di Kemboja, China dan Indonesia bagi meneroka budaya, pendidikan serta pelancongan Sarawak.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak berkata, CDBK 2026 memasuki edisi keempat dengan penyertaan 47 pelajar dan enam pegawai pengiring dari Universiti Pengurusan Kebangsaan (Kemboja), Universiti Panca Bhakti dan Universiti Trisakti (Indonesia), serta Universiti Perguruan Minzu Guangxi, Universiti Vokasional dan Teknikal Quanzhou (China).
“Program anjuran UiTM Global Sarawak (UGS) itu bermula 23 Ogos lalu mengangkat tema “Budaya, Penemuan, Jalinan,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.
UiTM berkata, CDBK 2026 menyediakan ruang kepada peserta untuk mengenali keunikan budaya dan warisan Sarawak, selain membina hubungan rentas budaya serta jaringan profesional dan akademik.
Sepanjang program, peserta menyertai aktiviti pembelajaran dan pertukaran budaya termasuk Jom Klaka Bahasa Sarawak, aktiviti rekreasi serta lawatan ke Sumiran Eco Park, Muzium Budaya Borneo, Tebingan Kuching dan Taman Buaya Zoo Jong, Kuching.
“Program ini bukan sekadar mobiliti pelajar antarabangsa, malah menjadi platform diplomasi pendidikan yang menghubungkan golongan muda dari pelbagai negara serta membuka ruang kerjasama dalam pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pelancongan,” tambahnya.
Majlis penutupan di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan disempurnakan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Morshidi Fredri, yang mewakili Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
UiTM Cawangan Sarawak turut menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan menghubungkan institusi pengajian tinggi serta rakan strategik di peringkat serantau dan global.
