DAPSY diminta desak Kerajaan Persekutuan tangani isu jerebu rentas sempadan

KUCHING: Kerajaan Persekutuan perlu memainkan peranan utama menerusi saluran diplomatik dalam menangani isu jerebu rentas sempadan dengan Indonesia.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Timbalan Bendahari Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Afiq Fikri Brahim, berkata isu berkenaan merupakan hubungan antarabangsa yang berada di bawah kerangka Kerajaan dengan Kerajaan (G2G) Malaysia dan Indonesia.

“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengemukakan perkara penting ini secara langsung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Kerajaan Sarawak campur tangan secara langsung dalam hubungan luar menunjukkan keperluan isu berkenaan dibawa melalui saluran Kerajaan Persekutuan.

“Lebih ketara, perkara ini turut menyerlahkan kegagalan DAP untuk membawa suara Sarawak secara berkesan ke Kabinet Persekutuan sebuah kabinet yang turut dianggotai DAP sebagai rakan utama,” tambahnya.

Beliau berkata, penyelesaian isu jerebu memerlukan diplomasi yang teliti dan strategik termasuk memastikan Indonesia memenuhi komitmen terdahulu bagi mencegah serta mengurangkan masalah jerebu.

Afiq berkata, kenyataan politik tidak akan menyelesaikan isu jerebu rentas sempadan yang telah berlarutan sekian lama dan memerlukan kerjasama antara kerajaan.