KUCHING: Kerajaan Sarawak memastikan bekalan air terus disalurkan kepada penduduk yang terjejas susulan cuaca kering di beberapa kawasan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi penghantaran air dilaksanakan bersama agensi berkaitan.
“Kita mengingatkan semua penduduk agar sentiasa bersedia.
“Berdasarkan KPI kita, selepas permohonan diterima, bekalan air mestilah dihantar dalam tempoh 12 jam,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JPBNS, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut menyediakan sumber dan aset kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memenuhi keperluan penduduk.
Menurutnya, penghantaran air minuman turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan jawatankuasa di peringkat bahagian serta daerah.
“Dari segi sumber, kita memberi bantuan kepada JBALB dan JKM bagi memastikan aset serta kemudahan mereka mencukupi untuk membantu rakyat yang kekurangan air,” tambahnya.
Sementara itu, JKM berkata, penghantaran bekalan air sebenarnya telah dimulakan sebelum 1 September berdasarkan permohonan yang diterima daripada kawasan terjejas.
Katanya, sebanyak dua kotak air minuman bersaiz 1.5 liter diperuntukkan bagi setiap individu, dengan pengagihan dilakukan melalui jalan darat atau laluan sungai mengikut keadaan lokasi.
