KUCHING: Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai dinasihat memberi tumpuan terhadap pengajian bagi mencapai kejayaan akademik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.4 Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penerimaan tawaran ke universiti atau kolej merupakan satu pencapaian yang perlu dimanfaatkan sebaiknya.
“Kita guna masa tempoh tiga, empat, lima tahun untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran supaya di penghujungnya kita menjadi seorang graduan di peringkat degree, sarjana ataupun doktor falsafah (PhD),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penyampaian Insentif Pelajar IPT Kawasan DUN Pantai Damai, di sini, hari ini.
Dr Rahman yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) berkata, penganjuran program itu merupakan bentuk pengiktirafan terhadap usaha pelajar dalam melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau turut mengingatkan pelajar supaya mendapatkan bantuan daripada Pusat Khidmat Pantai Damai sekiranya berdepan masalah berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa atau bantuan pendidikan.
“Jangan biarkan satu masalah menjadi dua, tiga atau empat sehingga menjadi beban kepada minda dan menyebabkan kita tertekan,” tambahnya.
Dr Abdul Rahman berkata, pelajar yang pertama kali berjauhan daripada keluarga juga perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus serta mendapatkan sokongan daripada orang terdekat apabila berdepan cabaran.
Katanya, keluarga, rakan-rakan dan pihak yang boleh membantu perlu dihubungi sekiranya pelajar menghadapi masalah sepanjang tempoh pengajian.
Beliau berharap pelajar DUN Pantai Damai yang menerima insentif berkenaan dapat menamatkan pengajian dan kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat serta Sarawak.
