Premier Sarawak sertai solat Aidiladha, agih daging korban

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyertai umat Islam bagi menunaikan solat sunat Aidiladha, sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Khutbah Aidiladha disampaikan selepas solat sunat Aidiladha oleh Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim.

Selesai khutbah, Premier dan dif-dif kenamaan yang lain beredar ke ruang legar masjid bagi menyaksikan pelaksanaan ibadah korban seterusnya mengagihkan daging korban kepada penerima sempena Majlis Kesyukuran Aidiladha Majlis Islam Sarawak (MIS) 1447H/2026M.

Hadir sama, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi serta Yang di-Pertua MIS Datuk Misnu Taha.