KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Yayasan Wakaf Sarawak (YWS) di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Delegasi YWS diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWS, Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg bersama barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah serta pengurusan tertinggi yayasan berkenaan.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara YWS dan Kerajaan Sarawak selain membincangkan hala tuju pembangunan wakaf di Sarawak secara lebih mampan, progresif dan berimpak tinggi.
Dalam sesi tersebut, YWS turut membentangkan perkembangan semasa berkaitan inisiatif pembangunan wakaf termasuk cadangan penubuhan Sarawak Waqf Sustainability Fund (SWSF), pengurusan dan pembangunan aset wakaf, program pembangunan sosial ummah serta perancangan projek-projek strategik yang berpotensi memberi manfaat berterusan kepada rakyat Sarawak.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehlwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha serta Ketua Pegawai Eksekutif YWS Abang Faisal Abang Marzuki.
Sementara itu, Premier Sarawak turut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan daripada Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) dan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).
Zakat perniagaan LPB berjumlah RM2 juta disampaikan oleh Pengerusinya, Dato Sharkawi Alis kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha.
Manakala zakat perniagaan SAINS berjumlah RM1 juta diserahkan oleh Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain kepada Misnu.
Penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi SAINS, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.
Majlis berkenaan turut dihadiri Dr. Abdul Rahman, Lembaga Pengarah Ahli SAINS Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Ketua Pegawai Eksekutif SAINS Busiai Seman, Ahli Lembaga Pengarah SiliconNet Technologies (SNT) Sdn. Bhd Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.-EDISI UKAS
