Gangguan air Teku Pasai, Sarawak Water percepatkan usaha tangani bekalan

KUCHING: Sarawak Water mengambil maklum berhubung gangguan bekalan air yang sedang dihadapi pengguna di kawasan Teku Pasai dan memahami kesulitan yang dialami penduduk, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Gawai.

Sarawak Water menerusi kenyataan medianya memberitahu, Sarawak Water kini sedang melaksanakan tindakan segera termasuk penghantaran air bersih menggunakan lori tanker ke kawasan terjejas serta kerja-kerja pembaikan kebocoran paip yang dikenal pasti di lapangan bagi membantu menstabilkan bekalan air di kawasan terlibat.

Pasukan operasi dan teknikal Sarawak Water juga sedang menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan segala tindakan di lapangan dapat dilaksanakan secepat mungkin demi mengurangkan impak kepada pengguna.

Dalam masa sama, beberapa pelan penambahbaikan sedang dirancang dan dilaksanakan secara berfasa bagi memperkukuhkan sistem bekalan air untuk jangka masa sederhana dan panjang.

Antara langkah yang sedang dirancang termasuk pelaksanaan Projek ‘Acute Plant’ di Rantau Panjang sebagai penyelesaian jangka sederhana, selain projek-projek penambahbaikan utama seperti Projek Menaik taraf Loji Rawatan Air Salim, pelaksanaan ‘dedicated’ saluran paip air dan pembinaan Tangki Aras Tinggi di Rantau Panjang serta program penggantian paip baharu di kawasan Teku.

Sebelum ini, pelbagai usaha dan projek penambahbaikan turut telah dilaksanakan di beberapa kawasan lain termasuk Sibu Jaya dan Nibong Tada bagi membantu menstabilkan sistem bekalan air serta meningkatkan kapasiti bekalan kepada pengguna.

Pendekatan yang sama akan terus diperkukuhkan di kawasan Teku Pasai melalui pelaksanaan tindakan segera, penyelesaian jangka sederhana dan projek penambahbaikan jangka panjang yang sedang dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat.

Sarawak Water memberi jaminan bahawa isu ini sedang diberi perhatian serius dan dipantausecara berterusan oleh pihak pengurusan serta pasukan teknikal kami.

Segala usaha sedang dipergiatkan bagi memastikan sistem bekalan air di kawasan terjejas dapat dipulihkan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Sarawak Water amat menghargai kesabaran dan kerjasama semua pengguna yang terjejas.

Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi Sarawak Water.