KUCHING: Program Ibadah Korban dan Akikah 1447H/2026M anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia Sarawak menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh keberkatan dan semangat kebersamaan di Gita Laut pada Sabtu.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta peserta yang berganding bahu menjayakan program berkenaan.
Menurut beliau, ibadah korban bukan sahaja menzahirkan ketaatan kepada Allah SWT, malah menjadi medium penting dalam memperkukuhkan ukhuwah, semangat gotong-royong dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Diharapkan program ini dapat menjadi platform bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin, agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat dan penduduk, sekali gus menyemarakkan amalan kebajikan serta semangat perpaduan dalam komuniti,” katanya.
Program tersebut melibatkan aktiviti penyembelihan, melapah serta pengagihan daging korban kepada golongan yang memerlukan dan penduduk sekitar.
Kehadiran para sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat turut mencerminkan semangat kerjasama dan perpaduan yang tinggi dalam menjayakan aktiviti kebajikan berteraskan nilai-nilai Islam.
Turut hadir Pengarah Operasi Negeri LHDN Malaysia Sarawak Rafidah Razali Ramali, Pengerusi Surau Darul Fadzlillah Mahari Leng, Ketua Kampung Gita Laut Othman Ridzuan serta Yang Dipertua Persatuan Islam LHDN Malaysia Kuching Masusanto Sapawi. – UKAS
