Gawai Dayak jambatan eratkan persaudaraan masyarakat Sarawak

KUCHING: Komuniti Bumiputera termasuk masyarakat Dayak di Sarawak digesa memberi penekanan serius terhadap kepentingan pendidikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pada masa sama mereka memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal  dan Vokasional (TVET).

“Ini amat penting bagi memastikan anak-anak kita memilih laluan pendidikan yang tepat dan sesuai dengan tuntutan semasa. Walaupun mencabar, ia bakal menjamin masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sambutan Gawai Dayak 2026.

Tun Dr Wan Junaidi berkata, amat penting bagi masyarakat Bumiputera di Sarawak menekankan penguasaan dalam subjek STEM dan TVET bagi mengelakkan jurang ekonomi yang lebih besar.

Menurutnya kecenderungan untuk hanya memilih subjek mudah di peringkat kolej dan universiti tanpa nilai pasaran yang kukuh akan menyebabkan tenaga kerja Bumiputera berisiko terlepas peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Manakala peluang keemasan dalam sektor industri berimpak tinggi akan didominasi oleh pihak lain yang lebih kompeten,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata masyarakat Dayak bersama komuniti lain di Sarawak membuktikan peranan cukup signifikan dalam pelbagai sektor kritikal termasuk pertanian, perladangan, perkhidmatan awam, perkhidmatan swasta serta bidang profesional.

“Sumbangan masyarakat Dayak telah memastikan Sarawak terus melangkah megah sebagai sebuah negeri  yang berdaya saing, samada di peringkat nasional atau antarabangsa,”tambahnya.

Seiring aspirasi Sarawak menuju status berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030, beliau berkata masyarakat Dayak bersama masyarakat lain terus perkukuh kemahiran dan bidang teknologi, memperkasa pendidikan, keusahawanan, kepimpinan dan meningkatkan daya saing.

“Gawai Dayak juga berperanan sebagai jambatan untuk memperkukuh tali kekeluargaan dan persaudaraan antara masyarakat pelbagai kaum, selari dengan konsep “Segulai Sejalai” yang sentiasa menjadi teras kebersamaan kita di Sarawak,” katanya.

Jelasnya, keindahan ini terbukti melalui amalan “adat ngabang” atau tradisi Rumah Terbuka yang diamalkan secara meluas, di mana pintu hati dan pintu rumah sentiasa terbuka luas untuk menerima para pengunjung sebagai simbol perpaduan.

Sehubungan itu, beliau bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi,menzahirkan Selamat Hari Gawai Dayak Tahun 2026 kepada masyarakat Dayak di Sarawak.