ICQS Serikin eratkan hubungan penduduk sempadan Malaysia-Indonesia

JAGOI BABANG (Indonesia): Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin yang sedang dalam proses pembinaan di sempadan Sarawak- Indonesia bakal memudahkan lagi pergerakan penduduk berhampiran.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Henry Harry Jinep berkata ini termasuk masyarakat Jagoi Babang di Indonesia dan Jagoi di Bau, Malaysia sememangnya mempunyai hubungan sangat rapat dari segi keturunan, suku kaum, bahasa, cara hidup dan budaya yang semuanya hampir sama kerana mereka berasal dari keturunan yang sama.

“Apabila ICQS siap kelak, pergerakan masyarakat dari kedua-dua pihak, walaupun dipisahkan oleh sempadan akan menjadi lebih mudah dan hubungan kekeluargaan semakin erat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri acara tahunan, Gawai Sowa sempena sambutan Hari Gawai Dayak 2026 di Kampung Jagoi Babang, Indonesia, hari ini.

Henry berkata setiap kali penduduk kampung itu mengadakan sambutan Gawai, mereka akan menjemput saudara-mara dari sempadan di Bau, Sarawak. Katanya, kali ini beliau mewakili Malaysia ke majlis tersebut.

Beliau menambah, acara Gawai Sowa iaitu Gawai tahunan merupakan penganjuran yang ke-186 tahun ini dan tradisi ini telah berlangsung selama kira-kira 206 tahun.

Di samping itu katanya, ICQS Serikin juga akan membolehkan penduduk kawasan sempadan terbabit menjalankan perniagaan dan dari segi pengangkutan dan logistik akan menjadi lebih mudah kerana kenderaan boleh bergerak terus antara dua negara.

“Dari sudut kastam dan cukai, kedua-dua negara akan mendapat manfaat hasil kutipan,”tambahnya.