Bantuan kebajikan, kewangan bagi pelajar kurang mampu daftar UNIMAS

SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menegaskan terdapat pelbagai mekanisme kebajikan dan bantuan kewangan kepada pelajar yang mendaftar di universiti itu.

Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, ini khususnya kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan, B40, dari luar bandar dan generasi pertama ke universiti yang menghadapi tekanan kewangan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu bahawa adalah kurang tepat untuk memberi gambaran seolah-olah pelajar akan terus dinafikan kemasukan hanya kerana berdepan kesukaran membuat bayaran pada hari pendaftaran.

Katanya, mekanisme kebajikan dan bantuan kewangan UNIMAS melalui Hal Ehwal Pelajar dan Alumni termasuk bantuan yuran dan sara diri, Food@Campus, peralatan perubatan, bantuan kecemasan, khairat kematian, sokongan kaunseling, penginapan, ICT serta Program Pembangunan Siswa SULUNG.

“UNIMAS turut menggerakkan bantuan melalui Bahagian Endowmen dan Wakaf, termasuk Program Kasih Insani, sokongan makanan bersama Tabung Baitulmal Sarawak, baucar makanan bersama Maybank Islamic Berhad,” katanya dalam kenyataan UNIMAS hari ini.

Selain itu, bantuan komputer riba, biasiswa endowmen bersama Bank Rakyat dan Maybank Islamic Berhad, projek komuniti berelaun bersama UNIMASfm dan Affin Bank, serta peluang pekerjaan dalam kampus melalui Job on Campus.

“Cabaran seterusnya bukan sekadar menyediakan bantuan, tetapi memastikan maklumat sampai lebih awal, jelas dan praktikal kepada pelajar serta keluarga,” katanya.