Pusat SNCC dibina di Samarahan, perkasakan komuniti berkeperluan khas

KOTA SAMARAHAN: Sebuah Pusat Komuniti Berkeperluan Khas (SNCC) bernilai RM30 juta akan dibangunkan di sini untuk memperkukuhkan sistem sokongan dan pembangunan komuniti berkeperluan khas di negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pembangunan pusat itu akan menjadikan Sarawak sebagai negeri pertama membangunkannya dalam memperkasa golongan memerlukan bermula dari peringkat kanak-kanak sehingga dewasa termasuk yang tidak mempunyai waris.

SNCC itu akan dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di tapak Pusat Pemulihan Samarahan (PPS) di sini, katanya pada sidang media selepas mesyuarat tapak projek Special Needs Community Centre (SNCC) di Pusat Pemulihan OKU Samarahan hari ini.

Fatimah berkata, kompleks tersebut direka untuk memenuhi keperluan golongan berkeperluan khas sepanjang hayat mereka.

Ia bermula dengan One-Stop Early Intervention Centre (OSEIC) untuk kanak-kanak bawah tujuh tahun menjalani penilaian, diagnosis dan intervensi awal sebelum memasuki sistem pendidikan formal.

Ini katanya, disusuli latihan kemahiran dan vokasional serta kemudahan penjagaan bagi individu yang tidak mempunyai waris.

Manakala SNCC katanya, akan memberi fokus kepada pembangunan kemahiran, latihan vokasional dan kebolehpasaran golongan berkeperluan khas.

Antara kursus awal ialah teknologi maklumat (IT), jahitan, kulinari dan pastri serta seni dan kraf yang akan dilaksanakan secara modular mengikut keperluan peserta, katanya.

Selain itu, pusat berkenaan turut menyediakan kemudahan asrama bagi peserta dari luar Kuching dan Samarahan,

Projek SNCC merangkumi blok pentadbiran, OSEIC yang dilengkapi bilik terapi, bilik integrasi sensori dan kolam hidroterapi, bengkel latihan vokasional, asrama pelatih berkapasiti 64 orang serta dewan taklimat dan bengkel.

Proses tender projek dijadual dibuka pada Julai tahun ini sebelum penilaian dan pengeluaran surat setuju terima dilaksanakan pada November, katanya.
Pembinaan itu dijangka mengambil masa kira-kira 20 bulan dan pusat tersebut disasarkan siap menjelang Mei 2028.