Pesta SCAT himpunkan pencari kerja, pemain industri dalam platform bersepadu

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Sarawak merasmikan Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair) 2026 edisi ke-14 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini,hari ini.


SCaT Fair 2026 dianjurkan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) bersama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), dengan sokongan strategik Pertubuhan Keselamatan
Sosial (PERKESO) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).


Bertemakan “Enhancing Employability”, SCaT Fair 2026 terus menjadi platform
pendidikan, latihan dan kerjaya terbesar di Sarawak menghimpunkan pelajar, graduan, pencari kerja,institusi pendidikan, penyedia latihan, agensi kerajaan serta pemain industri dalam satu platform bersepadu.


Ia bagi memperluaskan akses kepada peluang pendidikan, pembangunan kemahiran dan pekerjaan.


Penganjuran ini turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan modal insan sebagai pemacu utama kepada aspirasi negeri untuk menjadi sebuah wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 melalui pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).


Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.


Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol serta Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) yang menjaga Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), Datuk Ibrahim Baki.


Ahli – ahli Lembaga Amanah Tabung Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) turut hadir.