PRN-13: Saya tidak tahu – Abang Johari

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg enggan mengulas spekulasi politik yang mengaitkan Sarawak sedang menghampiri fasa menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN-13)

Katanya, ia termasuk dakwaan bahawa tempoh 100 hari akan datang merupakan penentu landskap politik semasa.

Beliau sebaliknya menegaskan bahawa perkara tersebut lebih sesuai dirujuk kepada Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, yang sebelum ini mencetuskan perhatian apabila memberi bayangan mengenai kemungkinan PRN dalam tempoh berkenaan ketika berucap pada Majlis Menaikkan Bendera sempena ulang tahun ke-67 Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

“Saya tidak tahu. Tanya Dr Sim Kui Hian. Terima kasih,” katanya ringkas kepada media selepas merasmikan Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT) 2026 di Kuching, hari ini.

Sebelum itu, Dr Sim yang juga Presiden SUPP mengingatkan jentera parti agar berada dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan PRN, susulan peningkatan aktiviti politik serta keperluan memperkukuh gerak kerja mendekati rakyat.

Beliau turut berkata tumpuan ketika ini adalah untuk memperjelas agenda serta pencapaian kerajaan kepada rakyat, seiring persiapan menghadapi suasana politik yang dijangka lebih aktif.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan bahawa penentuan tarikh PRN Sarawak kekal di bawah prerogatif Premier negeri.

Untuk rekod, PRN Sarawak terakhir diadakan pada 18 Disember 2021.