SERIAN: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja menerima peruntukan sebanyak RM152.7 juta menerusi Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi memacu projek pembangunan luar bandar.
Bukti komitmen berterusan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ini menyaksikan sebanyak 64 projek dikenal pasti merangkumi sektor jalan raya, bekalan air, elektrik, pertanian, serta infrastruktur asas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan, peruntukan mega ini memperlihatkan kesungguhan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memastikan pembangunan seimbang dan inklusif di seluruh negeri.
”Sebagaimana petani menuai hasil kerja keras mereka, rakyat kini mula menikmati hasil daripada dasar dan inisiatif pembangunan Kerajaan GPS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Gawai Dayak Bukit Semuja 2026 di Dewan Babuk Salog, Kampung Riih Daso, malam tadi.
Setakat ini, sebanyak RM15.16 juta daripada keseluruhan dana yang diluluskan dibelanjakan bagi memulakan pelaksanaan projek-projek kritikal berkenaan.
Jelas Uggah, fokus utama kerajaan adalah menyediakan kemudahan asas yang lebih baik serta membuka peluang ekonomi luas demi merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat untuk terus mempertahankan perpaduan padu sebagai kunci utama yang membolehkan kerajaan merancang agenda kemajuan secara efektif.
”Sokongan padu membolehkan Premier Sarawak terus merancang peningkatan pendapatan negeri, sekali gus memulangkan semula hasilnya untuk manfaat rakyat,” tambahnya lagi.
Bagi menyokong aktiviti komuniti, Uggah turut mengumumkan sumbangan RM20,000 kepada Jawatankuasa Penganjur sambutan tersebut yang diketuai oleh ADUN Bukit Semuja, John Ilus.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
