KUCHING: Sebanyak 541 kilogram (kg) dadah dan substans terlarang serta 113 liter ketum dirampas di seluruh Sarawak dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, membabitkan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM45 juta.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kejayaan tersebut dicapai hasil pelaksanaan 5,675 operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan oleh pelbagai agensi berkaitan di seluruh negeri.
Menurut beliau, operasi itu dilaksanakan di bawah pendekatan One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS).
“Antara jenis dadah dan substans berbahaya yang dirampas termasuk syabu, ketamin, ganja, serbuk ekstasi serta pelbagai pil terlarang yang dikenal pasti sebagai ancaman utama kepada kesejahteraan masyarakat di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat OSC MIDS Peringkat Negeri di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Fatimah, yang juga Pengerusi OSC MIDS Peringkat Negeri, berkata pendekatan OSC MIDS yang berteraskan konsep Whole-of-Government dan Whole-of-Society terus menjadi strategi utama Kerajaan Sarawak dalam menangani isu dadah dan substans secara menyeluruh.
Katanya, pendekatan tersebut menggabungkan lima teras utama iaitu pencegahan, penguatkuasaan, rawatan, pemulihan dan reintegrasi sosial.
“Melalui pelaksanaan pendekatan bersepadu ini, Sarawak berjaya mengekalkan kadar help-seeking yang memberangsangkan dengan nisbah 1:4, lebih baik berbanding purata kebangsaan.
“Ia mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat untuk mendapatkan bantuan secara sukarela,” ujarnya.
Beliau berkata, jumlah rampasan yang direkodkan dianggarkan berjaya menyekat sebanyak 742,804 kali penggunaan dadah dan substans terlarang serta berpotensi melindungi kira-kira 185,700 individu dalam tempoh sebulan daripada risiko penyalahgunaan bahan berkenaan.
Sehingga Mei 2026, sebanyak 7,526 tangkapan direkodkan, dengan lebih 60 peratus daripadanya tertumpu di empat daerah berisiko tinggi.
Kuching mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 2,080 kes, diikuti Sibu (906), Bintulu (787) dan Miri (776).
“Daripada jumlah keseluruhan tangkapan itu, sebanyak 5,902 kes atau 78.4 peratus melibatkan individu yang disaring positif urin, manakala 1,274 kes atau 16.9 peratus melibatkan pemilikan dadah dan substans serta 350 kes atau 4.7 peratus berkaitan aktiviti pengedaran,” katanya.
Data turut menunjukkan sebanyak 5,902 individu disaring positif urin, meningkat 29.66 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut Fatimah, peningkatan tersebut menunjukkan keperluan untuk memperkukuh intervensi awal, pendidikan masyarakat serta akses kepada rawatan dan pemulihan bagi mengelakkan individu terus terjerumus dalam kitaran penyalahgunaan dadah.
Sehubungan itu, katanya, OSC MIDS akan terus mempergiat pelaksanaan program pencegahan, advokasi komuniti, intervensi keluarga, saringan awal serta penguatkuasaan bersepadu, khususnya di daerah-daerah berisiko tinggi.
Beliau menegaskan, pendekatan OSC MIDS tidak hanya tertumpu kepada aspek penguatkuasaan dan tindakan terhadap sindiket pengedaran dadah semata-mata.
Sebaliknya, pendekatan kesihatan awam turut diberi penekanan melalui penyediaan akses kepada rawatan, pemulihan dan sokongan psikososial bagi membantu individu yang terkesan dengan ketagihan sebelum mereka terjebak dalam masalah sosial dan jenayah yang lebih serius.
