Lebih ramai disaran hulur sumbangan kepada YKN

KUCHING: Syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan disaran menyumbang kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, YKN ditubuhkan bagi membantu meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya yang melibatkan keluarga dan kanak-kanak.

“Penglibatan para penyumbang melalui platform tanggungjawab sosial korporat dengan YKN membolehkan lebih ramai lagi golongan sasar dapat dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Iftar Sinar Kasih Ramadan YKN yang dihadiri seramai 500 orang tetamu di sini, hari ini.

Nancy berkata, tetamu terdiri dari Rakan Strategik YKN iaitu jabatan dan agensi kerajaan, syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan, dan individu yang menyumbang wang tunai, menaja, berkolaborasi dan menyokong usaha YKN.