PADU: Kementerian Ekonomi akan berbincang dengan Kerajaan Sarawak minggu depan

KUCHING: Kerajaan Sarawak dipercayai mempunyai alasan tersendiri untuk menghentikan proses pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, beliau yakin mesti ada sebab mengapa Kerajaan Sarawak mengambil keputusan tersebut.

“Apa yang dilakukan sekarang adalah Kementerian Ekonomi akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kerajaan Sarawak minggu depan.

“Kita belum ada gambaran sepenuhnya apakah punca dan mengapa. Mesti ada sebab tersendiri kenapa Kerajaan Sarawak memutuskan untuk menghentikan pendaftaran PADU di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Iftar Jamaie bersama anak yatim dam anak tahfiz di Masjid Al-Ghazali Depo di sini, hari ini.

Tambah Fadillah, pihaknya ambil maklum bahawa notis berhubung penangguhan pendaftaran PADU sudah dikeluarkan oleh Sarawak.

“Apabila sudah ada kata putus kelak, saya yakin rakyat Sarawak akan mengikut apa jua arahan yang telah dikeluarkan oleh negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Sarawak sebenarnya antara negeri tertinggi telah mendaftar di bawah sistem PADU.