KUCHING: Pengiktirafan Kuching sebagai Bandaraya Gastronomi Kreatif UNESCO akan lebih menyerlah apabila Borneo Culinary World Cup 2026 (BCWC 2026) diadakan di sini, mulai 5 hingga 7 Ogos 2026.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pertandingan bertaraf antarabangsa itu akan membuka peluang kepada chef tempatan mengetengahkan bakat memasak mereka ke peringkat lebih tinggi.
“Malah ini adalah peluang terbaik bagi chef tempatan memperkenalkan citarasa masakan tempatan kepada dunia luar,” katanya pada sidang media di sini.
Beliau berkata, seramai 40 chef antarabangsa dan 34 chef dari seluruh negara akan berada di bandar raya ini untuk menyaksikan pertandingan itu di samping berkongsi pengalaman dengan chef tempatan.
Inilah masanya chef tempatan memperkenalkan citarasa masakan asli, tradisional dan pelbagai Sarawak ke peringkat global, tegas beliau.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting, Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, Datubandar Dato Wee Hong Seng, Pengerusi Persatuan Culinary Bersatu Malaysia, Arthur Lim dan Pengerusi Persatuan Culinary Sarawak, Julian L. Henry.
