Jambatan Batang Lupar Dua di Sri Aman bakal dijangka dibuka Ogos depan

SIMANGGANG: Jambatan Batang Lupar Dua di Sri Aman, yang bakal menjadi jambatan kabel tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 145.5 meter, dijangka dibuka kepada orang ramai pada penghujung Ogos ini selepas mencapai 91 peratus kemajuan fizikal.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek bernilai RM223.633 juta itu akan menyediakan laluan alternatif yang menghubungkan Sri Aman dan Betong, sekali gus memendekkan jarak perjalanan daripada 73 kilometer (km) kepada 37 km.

“Berpandukan jadual pelaksanaan semasa, kita yakin jambatan ini dapat dibuka kepada orang ramai pada penghujung Ogos ini,” katanya selepas menyempurnakan Upacara Penyambungan Bahagian Akhir Jambatan Batang Lupar Dua di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Dr. Cassidy Morris dan kenamaan lain.

Uggah berkata, pembinaan Jambatan Batang Lupar Dua bersama Jambatan Batang Lupar Satu di Triso/Sebuyau membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan infrastruktur negeri.

Menurutnya, jambatan sepanjang 870 meter itu dibina mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R5 dan turut merangkumi pembinaan jalan akses sepanjang 2.08 kilometer lengkap dengan kemudahan keselamatan.

Beliau berkata, Jambatan Batang Lupar Satu di Triso/Sebuyau pula kekal sebagai jambatan terpanjang yang merentangi sungai di Malaysia.

Dalam pada itu, Uggah berharap pembinaan jalan yang menghubungkan jambatan berkenaan ke Betong dapat disiapkan serentak kerana ia dijangka merancakkan sektor perdagangan, pertanian dan pelancongan, selain memacu pembangunan sosioekonomi di koridor Sri Aman-Betong.