KUCHING: Penganjuran Pameran dan Persidangan Air dan Sisa Kumbahan Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuhkan persediaan Sarawak sebagai tuan rumah Kongres dan Pameran Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa (IWA) 2028 di sini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, BIWWEC 2026 yang akan berlangsung mulai 15 hingga 17 Julai ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bukan sahaja menjadi medan perkongsian ilmu dan teknologi dalam sektor air.
Malah katanya, ia sebahagian daripada strategi memperkukuh ekosistem industri air bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, penganjuran itu dijangka menghimpunkan lebih 1,500 delegasi, menarik sekurang-kurangnya 2,500 pengunjung, selain disertai lebih 70 pempamer dengan 75 reruai pameran serta penyertaan dari lebih 19 negara.
“Penganjuran BIWWEC 2026 ini merupakan platform utama yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, pemain industri, ahli akademik, penyedia teknologi dan pelabur bagi memperkukuh kerjasama, memacu inovasi serta mengetengahkan penyelesaian mampan dalam sektor air dan air sisa,” katanya pada sidang media BIWWEC 2026 di BCCK, di sini, hari ini.
Tambah beliau, penganjuran acara itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sektor air melalui inovasi, kerjasama antarabangsa, pembangunan infrastruktur serta pelaburan berterusan.
Julaihi berkata, kejayaan Sarawak dipilih sebagai tuan rumah merupakan satu pengiktirafan terhadap keupayaan negeri ini dalam sektor pengurusan air.
Beliau menyatakan bahawa pembinaan BCCK2 yang sedang dilaksanakan turut membuktikan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memenuhi keperluan penganjuran acara antarabangsa berkenaan.
“Ini menunjukkan komitmen yang sangat serius daripada Kerajaan Sarawak untuk memastikan kita bersedia menjadi tuan rumah IWA 2028,” katanya.
Menurut beliau, sektor air kini berdepan cabaran besar akibat pertumbuhan bandar, perkembangan industri serta perubahan iklim yang memerlukan pendekatan lebih mampan dan berdaya tahan.
Persidangan yang bertemakan “Global Partnerships for Climate-Resilient Water Futures” itu bakal menjadi platform kepada komuniti antarabangsa untuk berkongsi pengetahuan, membentuk kerjasama strategik serta mencari penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran perubahan iklim dalam sektor air.
Tambahnya, BIWWEC 2026 turut memberi peluang kepada Sarawak mengetengahkan penyelesaian inovatif, memperkukuh jaringan kerjasama global serta menarik pelaburan dalam sektor air yang memberi manfaat kepada negeri dan rantau ASEAN.
Dalam pada itu, BIWWEC 2026 turut memberi penekanan kepada pembangunan generasi muda melalui penglibatan pelajar bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan sumber air.
“Pendedahan awal kepada sektor air penting kerana generasi masa kini bakal memainkan peranan dalam memastikan kelestarian sumber berharga itu pada masa hadapan. Generasi muda perlu memahami kepentingan air dan peranan mereka dalam menentukan hala tuju pengurusan sumber ini,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dijadual merasmikan BIWWEC 2026 pada 15 Julai ini. Pada tarikh sama, beberapa memorandum persefahaman melibatkan beberapa negara turut akan dimeterai.
