Universiti tempatan perlu tubuhkan fakulti perubatan, atasi kekurangan doktor

SIBU: Sarawak perlu menubuhkan fakulti perubatan di universiti tempatan bagi mengatasi kekurangan kira-kira 2,000 doktor.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Pengerusi UTS, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, langkah itu juga bagi memenuhi keperluan doktor pakar di negeri ini.

“Jika pada masa hadapan kerajaan bersetuju untuk menubuhkannya, UTS akan menjadi universiti tempatan pertama di Sarawak yang mempunyai fakulti perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Laporan Kajian Kebolehlaksanaan Penubuhan Fakulti Perubatan UTS, di sini semalam.

Dr Annuar berkata, laporan kajian kebolehlaksanaan penubuhan fakulti itu di UTS selama enam bulan diketuai oleh Profesor Dr Lela Suut dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menggabungkan pandangan serta kepakaran universiti terkemuka antarabangsa iaitu Universiti Dundee, University College London (UCL), Universiti Cambridge dan Universiti Nasional Singapura (NUS).

Katanya, laporan akan dibentangkan kepada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) sebelum dikemukakan kepada Kerajaan Sarawak untuk pertimbangan dan kelulusan akhir.