SIBU: Kerajaan Persekutuan digesa mendapatkan perkhidmatan kardiologi daripada hospital swasta sekiranya belum mampu menyediakan kemudahan itu di Sarawak bagi mempercepatkan akses rawatan kepada rakyat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, kerajaan boleh membeli perkhidmatan daripada hospital swasta bagi mengurangkan kes tertunggak dan tempoh menunggu pesakit untuk rawatan kritikal.
“Jika Kerajaan Persekutuan tidak mampu menyediakan perkhidmatan seperti kardiologi, mereka sepatutnya membeli perkhidmatan itu daripada swasta demi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Makmal Kateterisasi (CathLab) dan Perkhidmatan Kardiologi Pusat Perubatan Rejang (RMC), di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu memberitahu, pendekatan tersebut lebih efisien kerana memanfaatkan kemudahan sedia ada tanpa kerajaan menanggung kos penyelenggaraan dan kekurangan tenaga pakar.
Beliau turut menyifatkan pelancaran CathLab di RMC sebagai satu transformasi penting yang akan mempercepatkan rawatan kecemasan jantung bagi pesakit di wilayah tengah Sarawak, sekali gus meningkatkan peluang menyelamatkan nyawa.
