SIBU: Lebih 3,000 perwakilan daripada 24 cawangan dijangka menghadiri Konvensyen Zon Tengah 2026 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Stadium Tertutup Sibu pada 26 Julai ini.
Zon Sibu merupakan lokasi pertama mengadakan konvensyen tersebut, yang kesemuanya terdiri daripada empat zon.
Menurut Setiausaha Agung parti, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, konvensyen sehari yang bertemakan “Jaga Sarawak, Intu Sarawak” akan dirasmikan Yang di-Pertua Parti merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, konvensyen di Zon Tengah akan mendahului penganjuran konvensyen di zon utara, diikuti zon Betong dan zon Selatan (Kuching).
“Persiapan penganjuran berjalan lancar dengan pelbagai jawatankuasa kerja ditubuhkan bagi menyelaras pelaksanaan konvensyen berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan Konvensyen Zon Tengah 2026 di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.
Nanta memberitahu, program konvensyen akan merangkumi pembentangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak.
Kertas kerja MA63 akan dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, manakala pembentang bagi kertas kerja PCDS 2030 serta sesi mengenai isu politik semasa akan diumumkan kemudian, katanya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat dan ahli jawatankuasa zon Sibu.
