KUCHING: AirBorneo Airways hari ini membuka jualan tiket bagi laluan baharu Kuching-Kuala Lumpur dengan tambang promosi ‘Sarawakku Sayang’ bermula RM375 sehala bagi kelas ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin berkata, perkhidmatan baharu ini akan beroperasi dua kali sehari antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1.
Katanya, langkah itu sekali gus mengukuhkan peranan Kuching sebagai pintu masuk strategik selain menawarkan kemudahan dan kesalinghubungan lebih baik kepada pelancong serta pengembara perniagaan.
Katanya, bagi meraikan pelancaran ini, AirBorneo memperkenalkan tambang ‘Sarawakku Sayang’ bermula RM375 termasuk semua caj untuk tiket sehala kelas ekonomi dan dari RM736 termasuk semua caj untuk tiket sehala kelas perniagaan, merangkumi cukai lapangan terbang serta surcaj bahan api.
Tempahan dibuka pada 7 Julai 2026 jam 7:00 pagi (GMT+8), dengan penerbangan bermula 20 Julai 2026. Tiket hanya boleh didapati secara eksklusif melalui laman web rasmi AirBorneo di www.airborneo.com dan aplikasi mudah alih AirBorneo.
“Dengan menawarkan tiket secara eksklusif melalui saluran tempahan rasmi, AirBorneo memastikan pelanggan menikmati tambang terendah yang disahkan, harga telus, transaksi selamat, sokongan pelanggan secara langsung serta kemas kini tempahan masa nyata.
“Pembukaan jualan tiket bagi laluan Kuala Lumpur ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan AirBorneo ketika kami terus memperkukuh kesalinghubungan Sarawak dengan seluruh Malaysia dan seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Kuala Lumpur merupakan pintu masuk strategik yang membuka akses kepada rangkaian destinasi domestik dan antarabangsa yang lebih luas, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang dalam sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan dan perniagaan.
“Sebagai syarikat penerbangan milik Sarawak, kami komited menghubungkan rakyat, perniagaan dan peluang melalui perkhidmatan penerbangan yang selamat, boleh dipercayai dan berpatutan.
“Pengenalan tambang ‘Sarawakku Sayang’ adalah sebahagian daripada komitmen tersebut, bagi menjadikan perjalanan lebih mampu milik sambil menyokong aspirasi Sarawak dalam memperkukuh kesalinghubungan, pelancongan dan pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya.
Katanya lagi, laluan Kuala Lumpur ini merupakan pencapaian pertama dalam strategi peluasan rangkaian jangka panjang AirBorneo.
“Seiring pertumbuhan syarikat, ia kekal komited untuk memperkukuh kesalinghubungan Sarawak, menyokong pembangunan pelancongan dan ekonomi serta menyediakan perkhidmatan penerbangan yang selamat, boleh dipercayai dan bernilai kepada komuniti yang dilayan,” ujarnya.
