PETROS sumbang dana kepada Yayasan Jantung Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM250,000 dana diperuntukkan oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) kepada Yayasan Jantung Sarawak (YJS).

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr. Sim Kui Hian, ia bertujuan penambahan dana untuk mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) di Hospital Sibu.

“Pemberian itu bukan sahaja menyelesaikan isu atau kekurangan dana tetapi juga membolehkan kita menggunakan sebahagian daripada wang itu untuk penyimpanan dan pemasangan mesin,” katanya.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata demikian selepas majlis penyampaian cek sumbangan daripada PETROS di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, kata Dr Sim Pusat Jantung Sarawak mengesyorkan mesin tersebut untuk Hospital Sibu ekoran mesin sedia sudah uzur dan tidak dapat digunakan lagi.

Disebabkan itu, pesakit di wilayah tengah Sarawak dirujuk ke Pusat Jantung Sarawak kerana mesin di Hospital Sibu tidak mempunyai kapasiti untuk merawat pesakit.