Sarawak pergiat usaha bangun bakat belia

KAPIT: Kerajaan Sarawak akan mempergiatkan pelaksanaan program untuk pembangunan bakat belia termasuk sukan dan kebudayaan.

Menerusi dana sebanyak RM6.1 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan Sarawak 2023 baru-baru ini, pelbagai program telah dirancang melalui Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak atau MYSED untuk dilaksanakan secara holistik.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari, RM2 juta lagi turut diperuntukkan bagi pembangunan usahawan belia melalui pelaksanaan pelbagai program.

“Ia untuk membentuk usahawan belia serta meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.

“Melalui RM8.1 juta itu, pelbagai program holistik akan dilaksanakan termasuk Persidangan Kesihatan Mental Belia Antarabangsa, Permainan e-Sukan Antarabangsa, Cabaran Sukan Ekstrem Negara, Hari Sukarelawan Belia Antarabangsa dan Sarawak, program Alam Sekitar Belia, Youth Entrepreneur Setup (YES) dan sebagainya.

“Kerajaan mengiktiraf peranan belia dalam pembangunan, oleh itu belia bijak merebut peluang dalam arus pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak,” katanya dalam teks ucapan dibaca oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa perasmian Hari Belia Sarawak 2023 di Dewan Suarah Kapit pada Sabtu.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah menyediakan asas dan hala tuju yang jelas untuk golongan belia meneruskan kecemerlangan negeri seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).

Ujarnya, belia yang memaksimumkan inovasi dan teknologi digital dapat mengoptimakan pencapaian keberkesanan bidang mereka masing-masing ke arah mencapai aspirasi sebagai Sarawak Maju 2030 dan menjadikan belia Sarawak belia yang bertaraf dunia.

“Dalam agenda memperkasakan usahawan Sarawak melalui pembangunan Digital Ekonomi, Kerajaan telah mewujudkan portfolio baharu melalui Pembangunan Usahawan yang memfokuskan kepada Belia Sarawak di bawah Kementerian ini,” katanya.

Hadir sama Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan-Timbalan Menteri MYSED Dato Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr. Ripin Lamat, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang Dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat dan Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir.Aidel Lariwoo.

Sementara itu, acara menarik ialah pembukaan bendera Sarawak berukuran 16’×8’ yang diperbuat daripada manik dan diiktiraf oleh The Malaysia Book Of Records sebagai bendera negeri terbesar diperbuat daripada manik.

Bendera itu terdiri daripada 218,714 manik dan disiapkan dalam tempoh 180 jam oleh 18 penduduk tempatan di Kapit.