KUCHING: Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSB) syarikat yang mengurus dana Amanah Saham Sarawak (ASSAR) hari ini mengumumkan pengagihan dividen lebih tinggi iaitu 6.5 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 berbanding 6.0 sen seunit pada tahun kewangan berakhir sebelumnya.
Jumlah dividen yang diagihkan ialah RM34.35 juta terdiri daripada pengagihan interim 3.0 sen seunit yang dibayar pada 16 Februari lalu dan pengagihan akhir 3.5 sen seunit yang akan dibayar sebelum akhir Julai ini kepada 57,926 pelabur yang berdaftar sehingga 30 Jun 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patnggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengumumkan pengagihan dividen ASSAR bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 di sini hari ini berkata, bagi tahun kewangan 2026, ASSAR mencatatkan peningkatkan pendapatan kasar sebanyak 33 peratus kepada RM51.02 juta berbanding RM38.39 juta tahun sebelumnya.
Selepas ditolak perbelanjaan mengurus yang berjumlah RM8.12 juta, ASSAR memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM42.90 juta meningkat 31 peratus dari tahun ke tahun, katanya.
Pendapatan kasar ASSAR, beliau berkata, adalah hasil daripada ekuit pelaburan berjumlah RM24.69 juta (48%), pendapatan faedah daripada sekuriti pendapatan tetap sebanyak RM16.64 juta (33%), manakala selebihnya RM9.69 juta (19%) hasil daripada pendapatan dividen, faedah instrumen pasaran wang dan keuntungan daripada pelupusan sekuriti pendapatan tetap.
Abang Johari turut mencadangkan supaya pihak pengurusan PASB menubuhkan ASSAR2 untuk membolehkan masyarakat bukan Bumiputera melabur dalam ASSAR.
Pada majlis tu, Abang Johari turut melancarkan logo baharu Permodalan Assar Sarawak Bhd (PASB).
Hadir sama Pengerusi PASB, Dato Sri Wahab Dolah dan Ketua Pegawai Eksekutif PASB, Datu Mersal Abang Rosli.
Ditemui media kemudian, Abang Johari menegaskan, cadangan untuk memperluaskan penyertaan dalam ASSAR kepada bukan Bumiputera adalah sebagai sebahagian daripada pendekatan ekonomi yang lebih inklusif.
Beliau berkata, ketika ini ASSAR memberi tumpuan kepada Bumiputera, namun kerajaan melihat potensi untuk membuka ruang kepada bukan Bumiputera melalui skim tambahan, selaras dengan prinsip keterangkuman.
Pendekatan tersebut mengambil inspirasi daripada model Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang berjaya menggalakkan penyertaan pelaburan secara lebih meluas, katanya.
“Matlamat kita adalah untuk memberi peluang kepada lebih ramai anak Sarawak, termasuk bukan Bumiputera, supaya dapat bersama-sama melabur dan menikmati hasil pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau menambah, Sarawak memiliki sumber dan potensi besar yang boleh dimanfaatkan untuk pelaburan dalam sektor strategik, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Antara sektor yang dikenal pasti termasuk pembangunan infrastruktur seperti pelabuhan laut dalam, lapangan terbang antarabangsa, serta pembangunan dan pemerkasaan pelabuhan di Bintulu dan Miri.
“Dengan perkembangan ini, terdapat banyak peluang pelaburan yang boleh diteroka. Pelabur juga boleh bekerjasama dengan institusi kewangan seperti bank pelaburan dan merchant bank untuk mendapatkan pembiayaan melalui penerbitan bon,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa cadangan tersebut masih di peringkat penelitian dan tertakluk kepada kelulusan lembaga pengurusan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Dalam pada itu, beliau menolak tanggapan bahawa langkah tersebut bersifat populis, sebaliknya menegaskan keutamaan kerajaan adalah memastikan rakyat mendapat manfaat langsung daripada pembangunan ekonomi negeri.
“Kita mahu rakyat turut serta dalam pembangunan ini, bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi sebagai pelabur dan penerima manfaat,” ujarnya.
