Sarawak sasar muncul hab media antarabangsa menerusi SMEC 2026

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan Persidangan Media Sarawak 2026 (SMEC 2026) sebagai platform media bertaraf antarabangsa.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, platform ini akan menghimpunkan pengamal media, ahli akademik dan tokoh industri dari dalam serta luar negara.

Selain itu tambahnya, SMEC juga membincangkan masa depan kewartawanan, tadbir urus dan teknologi media.

Persidangan yang membawa tema “Media, Trust and Governance in a Rapidly Evolving Digital World” ini mencerminkan aspirasi Sarawak untuk menjadi hab utama perbincangan mengenai media beretika, inovasi digital dan nilai kemanusiaan di rantau ini.

“SMEC bukan sekadar menjadi medan perkongsian ilmu, malah berperanan memperkukuh jaringan kerjasama antara pengamal media.

“Institusi akademik dan pemain industri juga terlibat dalam membentuk ekosistem media yang lebih berwibawa, berdaya tahan serta berintegriti,” katanya pada sidang media SMEC 2026 di Baitulmakmur, di sini, hari ini.

Tegasnya, hasrat persidangan ini untuk mengangkat Sarawak sebagai destinasi pilihan bagi dialog antarabangsa mengenai kewartawanan beretika, teknologi media dan tadbir urus yang baik, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai pusat rujukan media di rantau ASEAN.

Dalam masa sama, Abdullah memaklumkan, sempena SMEC 2026, sebanyak 11 Anugerah Apresiasi daripada lima kategori akan disampaikan pada Majlis Makan Malam Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat Sarawak yang berlangsung pada 16 Julai ini.

Anugerah merangkumi kategori wartawan, editor, jurugambar, juruvideo dan penyampai radio, selain memperkenalkan kategori baharu bagi pencipta kandungan atau influencer yang menghasilkan kandungan positif, berteraskan nilai kemanusiaan serta mempromosikan Sarawak.

Katanya, pengiktirafan itu merupakan penghargaan Kerajaan Sarawak terhadap sumbangan besar warga media dalam menyampaikan maklumat yang tepat, berkualiti dan beretika kepada masyarakat.

“Penerima dipilih oleh panel yang terdiri daripada pengamal media sendiri.

” Proses pemilihan dilaksanakan secara telus berdasarkan sumbangan dan pencapaian mereka dan penerima juga tidak akan dipilih semula pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada lebih ramai warga media menerima penghargaan,” jelasnya.

Selain majlis makan malam, SMEC 2026 pada sebelah siang akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut dirancang ialah penganjuran bengkel media di TEGAS dan CENTEXS pada tarikh yang akan diumumkan kemudian, dengan sasaran penyertaan pelajar sekolah serta golongan belia bagi melahirkan generasi baharu yang celik media dan teknologi.

Majlis makan malam itu dijangka dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.

Sementara itu, dalam kenyataan media berkata, dijangka 800 peserta akan menghadiri persidangan sehari tersebut.