KUCHING: Kerangka kerja Strategi Sifar Bersih dan Rancangan Karbon Sarawak mengenal pasti peluang pelaburan hijau melebihi RM357 bilion dengan potensi menyumbang kira-kira RM27.6 bilion kepada ekonomi negeri.
Ia sekali gus mewujudkan kira-kira 223,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2050.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia mengukuhkan kedudukan kerajaan dalam merangka strategi menangani iklim boleh menarik pelaburan, inovasi dan pekerjaan berkualiti.
Sarawak turut membangunkan penyelesaian berasaskan semula jadi dengan menggunakan hutan, tanah gambut, bakau dan ekosistem pesisiran untuk mengurangkan risiko iklim, katanya dalam ucaptama sempena persidangan ‘Memperkasakan Pemuliharaan Dengan Ekonomi Hijau’.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar ll, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata, strategi pemuliharaan hutan adalah untuk mengurangkan risiko iklim sambil melndungi biodiversiti dan sumber air.
Setakat ini, katanya, sembilan permit Kajian Karbon dikeluarkan di sembilan bahagian di negeri ini meliputi kawasan seluas kira-kira 231,983 henktar.
Persidangan itu menghimpunkan 200 peserta mewakili 37 pertubuhan dengan membincangkan 25 kertas kerja dan lima sesi perbincangan melibatkan 18 ahli panel.
Penyertaan menggalakkan itu, katanya, mencerminkan pengiktirafan pemuliharaan bukan setakat ke atas alam sekitar tetapi satu agenda pembangunan penting yang memerlukan kerjasama kerajaan, ahli akamedia, industri dan masyarakat.
Kerajaan Sarawak, tegas beliau, akan terus memperluaskan liputan hutan melebihi satu juta hektar merangkumi pemuliharaan Santuari Hidupan Liar Lanjak Entimau, Taman Negara Batang Ai, Taman Negara Batu Karang Luconia dan Taman Negara Batu Karang Miri-Sibuti.
Langkah itu sebagai menyokong Estet Hutan Tetap di rantaian 71 Taman Negara, Santuari Rizab Semula Jadi dan Hidupan Liar meliputi kawasan seluas 2.1 juta hektar dan ekosistem marin termasuk 879,000 hektar hutan yang dilindungi, katanya.
Bagi Kerajaan Sarawak, beliau berkata, pemuliharaan bukan hanya berkenaan kos tetapi satu pelaburan dalam hutan semula jadi yang menyokong keselamatan air, pengeluaran makanan, tenaga dibaharui, ketahanan iklim, kelestarian pelancongan, kajian sainstifik dan peluang ekonomi baharu.
Tanggungjawab kerajaan, tambahnya, adalah untuk memastikan aset tersebut menjana nilai dalam jangka panjang sambil menjaga ekosistemnya.
Kerajaan Sarawak, katanya, tidak menganggap pemuliharaan dan pertumbuhan ekonomi sebagai persaingan utama tetapi harus diperkukuhkan melalui dasar bertanggungjawab, tadbir urus baik dan perancangan jangka panjang.
Hala tuju ekonomi hidrogen dan Kelestarian Sarawak 2030, katanya, untuk menyediakan keperluan jangka panjang kepada pelabur sambil meletakkan Sarawak sebagai peneraju wlayah dalam tenaga bersih, perindustrian hijau dan pembangunan mampan.
Secara kolektif inisiatif itu, tegas beliau, dijangka menyumbang sehingga RM550 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak, menarik pelaburan bernilai RM700 bilion dan mewujud 80,000 peluang pekerjaaan yang memberi faedah secara inklusif dan dikongsi bersama.
