KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Sarawak (ACCCIS) di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, hari ini.
Kunjungan diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian bertujuan menyerahkan memorandum berhubung beberapa isu semasa melibatkan komuniti perniagaan di negeri ini.
Memorandum tersebut menggariskan tiga isu utama, iaitu kos tinggi di bawah Foreign Workers Transformation Approach (FWTA), ancaman kegiatan perjudian haram dan penyalahgunaan dadah, serta cabaran yang timbul susulan pelaksanaan mekanisme subsidi diesel Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Selain mengetengahkan isu-isu berkenaan, ACCCIS turut mengemukakan beberapa cadangan bagi mengurangkan kos operasi perniagaan, meningkatkan daya saing perusahaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak secara mampan.
Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana positif menerusi perbincangan serta pertukaran pandangan mengenai pelbagai isu yang memberi kesan kepada komuniti perniagaan di Sarawak.
Dalam pada itu, ACCCIS merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas komitmen berterusan dalam memacu pembangunan ekonomi negeri serta berterima kasih kepada Premier Sarawak atas kesediaan beliau mendengar pandangan dan kebimbangan komuniti perniagaan.
