Penyelenggaraan landskap jadikan Kuching destinasi pilihan pelancong

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengukuhkan kualiti penyelenggaraan bandar menerusi penganjuran Seminar Penyelenggaraan Landskap, Pemotongan Rumput dan Pembersihan Parit yang bermula hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata Kuching bukan sekadar sebuah bandar, tetapi merupakan pintu gerbang utama Sarawak yang menjadi destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Penyelenggaraan landskap, pemotongan rumput dan pembersihan parit bukanlah kerja rutin semata-mata malah sebahagian daripada komponen utama dalam memastikan persekitaran bandar yang bersih, indah, selamat dan berdaya huni,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Penyelenggaraan Landskap, Pemotongan Rumput dan Pembersihan Parit, di sini, hari ini.

Seminar selama dua hari itu disertai 150 peserta bagi menyelaras kefahaman berkaitan spesifikasi kerja, skop kontrak dan standard kualiti penyelenggaraan DBKU.

Sementara itu, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Ramzi Abdillah menyatakan bahawa penganjuran seminar tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan pengurusan bandar raya lebih sistematik, cekap dan berkualiti.

Pihak kontraktor turut diingatkan supaya mematuhi spesifikasi kontrak, jadual kerja serta standard ditetapkan, manakala kegagalan akan dipantau dan dikenakan tindakan sewajarnya.

DBKU turut memberi perhatian terhadap aduan awam berkaitan penyelenggaraan dengan menjadikannya sebagai asas penilaian prestasi kontraktor.

“Kejayaan kita bukan hanya diukur pada siapnya sesuatu projek, tetapi pada kualiti, ketahanan dan kepuasan rakyat terhadap hasil kerja tersebut,” ujar beliau.

Bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, DBKU melaksanakan inisiatif Key Focus Activity (KFA) melibatkan penambahbaikan prosedur operasi, pemantauan dan penilaian prestasi kerja.

DBKU turut melancarkan aplikasi Green Management System (GMS) bagi memodenkan pengurusan penyelenggaraan landskap melalui pemantauan berasaskan teknologi.

Aplikasi GMS membolehkan DBKU merekod kerja secara digital, menilai prestasi kontraktor serta meningkatkan ketelusan dan kecekapan pengurusan penyelenggaraan bandar raya.