KUCHING: Atlet Sarawak yang bakal beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 diingatkan supaya bertanding demi maruah negeri, bukannya mengejar ganjaran wang semata-mata.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan negeri tetap akan memberikan insentif kepada pemenang pingat SUKMA dan Para SUKMA.
Namun tegasnya, ganjaran itu bukan faktor utama yang perlu menjadi motivasi atlet dan semangat untuk mengharumkan nama Sarawak serta membawa pulang kejayaan kepada negeri adalah nilai yang lebih besar daripada imbuhan kewangan.
“Atlet bertanding dengan semangat mengharumkan nama Sarawak, bukannya semata-mata mengejar ganjaran wang.
“Sudah tentu kita tidak akan melupakan atlet yang memenangi pingat dan insentif tetap ada, tetapi kita tidak mahu mereka bertanding hanya kerana memikirkan soal wang,” katanya kepada media selepas sidang media Liga Borneo Raft Safari 2026 di Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Sarawak mahu atlet menikmati kepuasan sebenar sebagai seorang juara dengan membawa nama negeri ke puncak kejayaan, sekali gus membina jati diri dan semangat kesukanan yang tinggi.
Dalam pada itu, Abdul Karim memaklumkan persiapan kontinjen Sarawak ke SUKMA Selangor 2026 berjalan lancar dan berada pada landasan yang tepat.
Katanya, Sarawak optimis mampu mempertahankan gelaran juara keseluruhan walaupun mengakui cabaran kali ini dijangka lebih sengit, khususnya daripada kontinjen Selangor yang beraksi di laman sendiri serta mempunyai rekod cemerlang sebagai negeri paling banyak merangkul kejuaraan SUKMA.
Beliau bagaimanapun, yakin dengan persiapan rapi dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan atlet, Sarawak mempunyai peluang cerah untuk sekali lagi muncul sebagai kuasa sukan negara.
