KUCHING: Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM disampaikan kepada dua pengamal media Sarawak.
Menurut kenyataan media Sekretariat HAWANA 2026, sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM) terbabit merupakan inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA bagi memperluas bantuan kepada pengamal media.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah menyampaikan sumbangan itu kepada jurufotografi di Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Jaed Tepus, 60, di kediamannya, di sini, hari ini.
Jaed menghidap ketumbuhan pada usus sejak Februari lalu telah mula berkhidmat di UKAS pada tahun 2023 dan pernah berkhidmat di Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak dari tahun 2012 hingga 2023 serta di Filem Negara Malaysia dari tahun 1993 hingga 2012.
Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, dan Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan BERNAMA, Sharifah Zaini Syed Zain.
Dalam lawatan berasingan, Datin Paduka Nur-ul Afida menyampaikan sumbangan kepada Koresponden Wilayah TV3, Kadir Edison, 44 yang berkhidmat bersama Media Prima sejak tahun 2015.
Ini bagi membantu menampung kos perubatan isterinya yang memerlukan rawatan akibat diabetes dan jangkitan di paru-paru.
Seramai 800 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA, yang merupakan inisiatif oleh Kementerian Komunikasi menerusi BERNAMA sejak diperkenalkan pada April 2023. – Foto: JAPEN
